masturat

masturat

usaha atas iman

Tuesday, January 29, 2013

jangan pernah jauh dari ALLAH



"Ya ALLAH...Sakitnya! Kenapa Kau bagi aku ujian dan kesakitan yang tak mampu aku tanggung?"

Bagitulah remuk sekali hati apabila setiap kali ujian datang menimpa. Air mata mengalir deras sebagai tanda lemahnya seorang hamba. Kesakitan itu bagai tiada noktahnya seringkali menduga iman.

Terasa bagai ALLAH tidak mendengar rintihannya.
Terasa seolah-olah ALLAH benci kepada Dia.
Terasa ALLAH meluat dan jemu mendengar doanya.
Dia hampir putus asa



 Hati yang kotor dengan perbuatan tuan badan sendiri akan mengakibatkan cahaya hidayah tidak dapat menyentuh hati. Apalagi untuk memasukinya. Dek kerana kotoran didalam hati itu, maka tiada ruang lagi hidayah untuk bermukim. Memang betul, yang memberikan hidayah kepada ALLAH SWT itu adalah seseorang. Dan in shaa Allah, ALLAH akan memberikan kepada orang-orang yang berusaha untuk itu.

Mungkin juga kerana manusia itu hanya melihat dunia ini sebagai dirinya sahaja tanpa mengaitkan setiap satu yang dapat ditangkap oleh pandangan matanya berkait rapat dengan ALLAH. Yup! Memang sangat berkait! Kerana ALLAH itu adalah Pencipta, dan manusia serta apa yang wujud itu adalah ciptaanNYA!


 SAHABATKU, ALLAH TIDAK PERNAH MENJAUH

Setiap helaan nafas, setiap kelipan mata, dan setiap gerakan langkah yang tercipta, apakah manusia boleh menafikan bahawa ALLAH itu jauh. Kalau tidak kerana ALLAH yang mengizinkan semua itu terjadi, adakah manusia akan dapat bergerak dengan sendirinya?

Sahabatku yang disayangi kerana ALLAH, cuba tanya pada diri. Jom muhasabah diri kita!

Pernah merasa ALLAH itu jauh?

Ana tidak malu mengaku bahawa ana pernah. Disaat itu, ujian datang bertubi-tubi. Ana berasa sangat lemah dan tidak berdaya untuk menerima takdirnya. DIA seperti memberi "isyarat" atau memperkenalkan ana saat yang sangat hampir dengan kematian. Nyawa seakan-akan mahu melayang ketika itu. Hanya mampu mengucap dan terus mengucap untuk kembali waras dan berfikir sedalam-dalamnya mengapa Ana menguji iman yang sedangkal ini.

Ana sangat bersyukur apabila ALLAH menunjukkan kebesaranNYA untuk menggerakkan langkah ana ke surau.  Menangis tidak berhenti-henti. Akibat perasaan rindu kepada rumah ALLAH yang mencengkam jiwa tiba-tiba, langkah dilajukan dengan wajah penuh berharap. Mendambakan perhatian daripada seseorang dan menagih cinta yang pasti.

Disana, ketenangan...kedamaian ditemui...

Dan yang paling penting, ana temui suatu jawapan...Jawapan kesedaran!

Sungguh, ALLAH SWT tidak pernah jauh. Selagimana manusia melembutkan hati dan memandang semua kejadian itu adalah hidayah dan hikmah daripada ALLAH. Kerana memang itulah hakikatnya.

“Dan sesungguhnya Kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan Kami lebih dekat daripada urat lehernya.” – {Qaf : 16}
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi perintah Ku dan beriman kepada Ku, agar mereka memperoleh kebenaran.” – {Al-Baqarah : 186}

Itu kenyataan dan perkhabaran dari ALLAH, bahawa sesungguhnya DIA sangat dekat!

Dan sekali lagi, masalahnya sebenarnya terletak pada hati manusia itu sendiri. Kenapa apabila ditimpa masalah, justeru merasa bahawa ALLAH itu tidak adil dan jauh? Sedangkan para pejuang agama dan para Rasul dan Nabi terdahulu diuji dengan hebat. Mereka itu lebih baik lebih mulia daripada kita.

Mengapa ringan sahaja bibir mengukir bicara bahawa kita sangat yakin menuturkan rasa cinta kepada ALLAH dan RasulNYA, tetapi apabila ditimpa suatu musibah. Maka ukiran di bibir dan yang terbuku di hati sangat berbeza. Jadi, dimanakah buktirnya kata-kata yang seindah itu? Yang di mana kata-kata yang kita tuturkan itu mampu menggugah perasaan manusia lain.

Hati benar menjadi malu tatkala membaca firman ALLAH SWT ini :

“Apakah kamu mengira akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (ujian) seperti yang dialami oleh orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan, digoncang dengan pelbagai cubaan. Sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, ‘Bilakah datangnya pertolongan ALLAH?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan ALLAH itu sangat dekat.”- {al Baqarah : 214}

Kita memang cepat melatah, kan?
Sudahlah cepat melatah, jarang bersyukur lagi.
Dan itu pun ALLAH pernah rakamkan di dalam al-Quran,

“...Dan sedikit sekali dari hamba-hamba Ku yang bersyukur...” – {Saba’ : 13}

Hati, jangan pernah merasakan ALLAH itu jauh. Sebaliknya, berilah dorongan dan motivasi kepada diri sendiri dan katakan bahawa memang diri kitalah yang semakin jauh dari ALLAH. Disaat merasakan perkara itu, maka mohonlah keampunan dari DIA. Moga kita dikuatkan olehNYA.

Hidup itu tak pernah jauh dari ALLAH, dan jangan pernah jauh dari ALLAH, maka kau akan hidup. dan ALLAH merancang setiap milik dari kita dan hidup kita dengan begitu sempurna hanya untuk membuktikan bahwa hidup itu ladang ujian untuk kita, baik dari jiwa, raga, orang tua, saudara, kekasih, teman dan barang-barang kesayangan kita. Semua sudah direncanakan ALLAH dengan detail. 
Pernahkan kita merenung sesaat, untuk membuka keenam pancaindera kita, untuk menangkap apakah hikmah dari setiap apa yang berlaku di dalam kehidupan ini, bahawa hidup di dunia hanyalah untuk beribadah kepada ALLAH?

Berpesanlah pada diri kita sendiri:
1. Tabahkan hati kuatkan semangat
2. Kukuhkan iman banyakkan zikrullah
3. Jangan mengeluh jangan kecewa

Sesunguhnya, ALLAH sentiasa bersama kita..INNALLAHA MA'ANA...


“Ya ALLAH, Ya Tuhan kami, kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu dan berilah petunjuk kepada kami dalam urusan kami dengan segala petunjuk. Mudahkanlah urusan kami Ya ALLAH, permudahkanlah jangan disulitkan kerana Engkaulah yang Maha memudahkan, segala yang susah adalah mudah bagiMu. Ya ALLAH, sempurnakanlah dengan segala kebaikan, dengan rahmatMu, Ya ALLAH wahai yang paling mengasihani daripada segala yang mengasihani. Ameen..."


Benar.
Aku harus terus melangkah.
Membuka mata melihat dunia.
Mengambil manfaat dan ibrah.
Dan memandang sebagai bekal di akhirat sana.

Sesungguhnya peringatan itu sangat bermanfaat untuk orang-orang yang beriman.


Wednesday, January 9, 2013

menjadi rahsia Allah


Jauh-jauh nafas ditarik. Sang mata asyik menatap indahnya alam ciptaan Ilahi. Manik-manik hujan berbangga membasahi bumi Ilahi. Subhanallah.

Rasa pilu mencucuk hati. Ya, rasa pilu. Pilu yang teramat sangat. Terasa diri yang dahulunya galak berlari kini tersungkur jatuh ke bumi. Ya Allah, lemahnya aku saat ini. Terasa bagai hidup tak bermakna lagi.

Bagai ada batu besar yang menghempap diri. Tidak keruan. Ada rasa yang menerjah pintu hati. Ya, ada rasa. Rasa yang tak mampu untuk diungkapkan. Perit. Amat perit. Bagai hilang separuh jiwa untuk melepaskan sesuatu yang amat disayangi. " Ya Allah..." hanya itu yang terlintas di hati.

Akur. Akur pada takdir. Akur pada apa yang tertulis dalam kisah perjalanan hidupku. Akur dengan apa yang perlu dilepaskan walaupun hakikatnya amat payah untuk dilakukan. Nafas ditarik panjang-panjang. Mahu menikmati nafas yang Allah berikan. Mahu sahaja masa dihentikan. Mahu sahaja masa diundur ke belakang. Mahu sahaja langkah diatur semula.

Saat ini, payah benar untuk bangkit. Saat ini, semuanya mahu diungkit. Saat ini, hati bagai dicarik-carik. Sungguh. Bagaimana hancurnya kertas yang dicarik-carik, hancur lagi sekeping hati yang menelan rasa yang amat pahit.

Satu perkataan yang terbayang di minda. MUJAHADAH!! Ya, MUJAHADAH!! Kalau kita mahu berubah, ubahlah dengan bersungguh-sungguh. Mana mungkin ajaran Islam kita ikuti separuh-separuh sahaja? Tak mungkin.

Aku mahu berubah. Berubah ke arah kebaikan. Jadi, untuk apa aku toleh ke belakang? Memang payah untuk melepaskan apa yang kita sayangi apatah lagi insan yang kita cintai. Perit. Sakit. Pilu. Hanya Allah yang tahu.

Aku yakin, pasti ada hikmahnya. Mungkin belum terlihat tapi kelak pasti terlihat kemanisannya. Aku berkorban saat ini demi mendapatkan yang halal untukku. Aku mahu menjaga diri hanya untuk Rabb-ku. Mendapatkan cinta yang halal yang mendekatkan aku pada-Nya. Aku mahu menyempurnakan agamaku dengan cara yang halal bukan cinta nafsu yang hanya menjadikanku khayal.

Ya Allah, aku pasti tiba saatnya nanti pasti akan ada sesuatu untukku. Dekatkanlah aku pada-Mu Ya Allah. Izinkanlah aku meraih cinta dan perhatian-Mu. Anugerahkan aku zauj yang mampu menjadi imamku dan anak-anakku. Anugerahkan aku zauj yang menerima kekuranganku sebagai ruang untuknya melengkapkanku. Anugerahkan aku zauj yang membawa aku ke jalan-Mu, Ya Allah. Amin.

Saat ini aku gunakan untuk mempersiapkan diri. Aku mahu baiki diri. Mahu menjadi pendamping buat sang mujahid yang mempertahankan kalimat Allah. Mahu menjadi mujahidah yang mewangi dalam jalan juang mujahid Ilahi.

Ya Allah, tiba saatnya nanti, Kau temukanlah kami dalam jalan redha-Mu. Ya Allah, tiba saatnya nanti Kau satukanlah hati ini dalam ikatan yang suci. Ya Allah, tiba saatnya nanti, Kau anugerahkanlah kami mujahid dan mujahidah kecil yang akan menyambung perjuangan kami.

InsyaAllah, aku membaiki diri sambil menanti. Menanti mujahid yang akan datang menjemputku nanti menjadi yang halal untuknya. 

Sabar menanti..........

rahsia Allah...