Dari sini kita dapat lihat amat mustahil untuk melihat wajah Allah di dunia ini. Nabi Musa A.S pernah meminta kepada Allah untuk melihatNya. Tetapi baru sahaja Allah menunjukkan diri kepada gunung, gunung itu bergegar dan hancur sehingga Musa jatuh pengsan. Ini membuktikan gunung yang kuat lagi kukuh akan hancur bila Allah menunjukkan diriNya, inikan pula manusia yang lemah.
Seketika kemudian secara tiba-tiba, muncullah sebuah mimbar yang amat ajaib di taman syurga. Lalu muncul malaikat Jibril membimbing tangan Nabi Musa naik ke atas mimbar yang indah itu untuk membacakan kitab Taurat supaya dapat dihayati oleh seluruh umat manusia di dalam syurga. Selesai membaca kitab Taurat dengan bacaan yang lembut itu, maka Jibril menjemput pula Nabi Isa memperdengarkan bacaan kitab Injil yang pernah diturunkan Allah kepada beliau.
Kemudian Jibril mempersilakan Nabi Daud membacakan kitab suci Zabur dan beliau membaca dengan suara yang enak sekali didengar. Selesai kitab Zabur dibacakan, Jibril akhirnya menjemput junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W ke atas mimbar untuk membacakan kitab suci Al-Quran. Rasulullah membaca dengan suara yang paling merdu dan lembut serta tak pernah didengari oleh sesiapa pun sewaktu di dunia dahulu sehinggakan semua penghuni syurga terpegun.
Setelah selesai pembacaan keempat-empat kitab suci yang pernah diturunkan kepada umat manusia di dunia dahulu, maka terangkatlah suatu hijab (halangan) di langit syurga ketika itu. Apabila terbuka sahaja hijab itu, maka keluarlah angin yang lembut bersama sejenis bauan yang sangat harum dan menakjubkan. Sekalian manusia di syurga berasa terkejut melihat suatu kejadian paling ajaib yang tak pernah terfikir oleh akal.
Kemudian terbuka lagi sebuah hijab yang lebih besar iaitu hijab yang menghalang setiap makhluk melihat wajah Allah S.W.T. Di sinilah saat paling nikmat dan paling berharga bagi setiap penghuni syurga kerana di sinilah tempat pertemuan yang sebenarnya antara manusia dengan Allah. Allah lalu memberi salam kepada sekalian manusia dan seluruh manusia menyambut salam dengan rasa nikmat dan syukur tak terperi.
Berkatalah seluruh manusia kepada Allah yang Maha Pencipta, yang Maha Berkuasa, yang Maha Pengasih dan Penyayang, “Wahai tuhan kami, izinkanlah kami sujud kepadaMu hari ini”. Allah lalu berfirman, “Wahai hamba-hambaKu, hari ini bukanlah merupakan suatu hari untuk kamu semua rukuk dan sujud kepadaKu. Tetapi hari ini adalah hari pembalasan nikmat untuk kamu semua. Sesungguhnya wahai hamba-hambaKu, syurga bukanlah tempat kamu semua berbuat ibadat, tetapi ia merupakan tempat mulia untuk kamu merasa kesenangan nikmat yang berkekalan. Walaupun begitu, demi keagunganKu, Aku izinkan kamu semua sujud sekali kepadaKu pada hari ini”.
Dari Shuhaib R.A, Rasulullah S.A.W bersabda, “Apabila ahli syurga telah masuk ke syurga, Allah berfirman, “Apakah kalian ingin tambahan sesuatu dariKu?” Kata mereka, “Bukankah Engkau telah memutihkan wajah kami? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami dari api neraka?” Lalu Allah membuka hijabNya, maka tidak ada pemberian yang paling mereka cintai melainkan melihat wajah Allah Azza wa Jalla. Kemudian Rasulullah S.A.W membaca ayat ini, “Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya.” [Yunus: 26]
Melihat Allah S.W.T merupakan kenikmatan yang paling dicintai bagi penghuni syurga. Selain itu, keistimewaan syurga Firdaus ialah para penghuninya akan dapat melihat wajah Allah dua kali dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Sedangkan nikmat yang tertinggi di dalam syurga ialah apabila manusia dapat menatap wajah Allah.