masturat

masturat

usaha atas iman

Wednesday, January 9, 2013

menjadi rahsia Allah


Jauh-jauh nafas ditarik. Sang mata asyik menatap indahnya alam ciptaan Ilahi. Manik-manik hujan berbangga membasahi bumi Ilahi. Subhanallah.

Rasa pilu mencucuk hati. Ya, rasa pilu. Pilu yang teramat sangat. Terasa diri yang dahulunya galak berlari kini tersungkur jatuh ke bumi. Ya Allah, lemahnya aku saat ini. Terasa bagai hidup tak bermakna lagi.

Bagai ada batu besar yang menghempap diri. Tidak keruan. Ada rasa yang menerjah pintu hati. Ya, ada rasa. Rasa yang tak mampu untuk diungkapkan. Perit. Amat perit. Bagai hilang separuh jiwa untuk melepaskan sesuatu yang amat disayangi. " Ya Allah..." hanya itu yang terlintas di hati.

Akur. Akur pada takdir. Akur pada apa yang tertulis dalam kisah perjalanan hidupku. Akur dengan apa yang perlu dilepaskan walaupun hakikatnya amat payah untuk dilakukan. Nafas ditarik panjang-panjang. Mahu menikmati nafas yang Allah berikan. Mahu sahaja masa dihentikan. Mahu sahaja masa diundur ke belakang. Mahu sahaja langkah diatur semula.

Saat ini, payah benar untuk bangkit. Saat ini, semuanya mahu diungkit. Saat ini, hati bagai dicarik-carik. Sungguh. Bagaimana hancurnya kertas yang dicarik-carik, hancur lagi sekeping hati yang menelan rasa yang amat pahit.

Satu perkataan yang terbayang di minda. MUJAHADAH!! Ya, MUJAHADAH!! Kalau kita mahu berubah, ubahlah dengan bersungguh-sungguh. Mana mungkin ajaran Islam kita ikuti separuh-separuh sahaja? Tak mungkin.

Aku mahu berubah. Berubah ke arah kebaikan. Jadi, untuk apa aku toleh ke belakang? Memang payah untuk melepaskan apa yang kita sayangi apatah lagi insan yang kita cintai. Perit. Sakit. Pilu. Hanya Allah yang tahu.

Aku yakin, pasti ada hikmahnya. Mungkin belum terlihat tapi kelak pasti terlihat kemanisannya. Aku berkorban saat ini demi mendapatkan yang halal untukku. Aku mahu menjaga diri hanya untuk Rabb-ku. Mendapatkan cinta yang halal yang mendekatkan aku pada-Nya. Aku mahu menyempurnakan agamaku dengan cara yang halal bukan cinta nafsu yang hanya menjadikanku khayal.

Ya Allah, aku pasti tiba saatnya nanti pasti akan ada sesuatu untukku. Dekatkanlah aku pada-Mu Ya Allah. Izinkanlah aku meraih cinta dan perhatian-Mu. Anugerahkan aku zauj yang mampu menjadi imamku dan anak-anakku. Anugerahkan aku zauj yang menerima kekuranganku sebagai ruang untuknya melengkapkanku. Anugerahkan aku zauj yang membawa aku ke jalan-Mu, Ya Allah. Amin.

Saat ini aku gunakan untuk mempersiapkan diri. Aku mahu baiki diri. Mahu menjadi pendamping buat sang mujahid yang mempertahankan kalimat Allah. Mahu menjadi mujahidah yang mewangi dalam jalan juang mujahid Ilahi.

Ya Allah, tiba saatnya nanti, Kau temukanlah kami dalam jalan redha-Mu. Ya Allah, tiba saatnya nanti Kau satukanlah hati ini dalam ikatan yang suci. Ya Allah, tiba saatnya nanti, Kau anugerahkanlah kami mujahid dan mujahidah kecil yang akan menyambung perjuangan kami.

InsyaAllah, aku membaiki diri sambil menanti. Menanti mujahid yang akan datang menjemputku nanti menjadi yang halal untuknya. 

Sabar menanti..........

rahsia Allah...