Wanita Islam taat kepada suaminya bukanlah kerana
didorong oleh perasaan rendah diri atau terpaksa, tetapi ia diterima dengan
ikhlas hati dan suami diletakkan sebagai pembimbing terbaik. Asma binti Yazid
seorang wanita Ansar yang mahsyur, terkenal kerana kepetahan berbicara telah
mengetuai beberapa orang wanita untuk memberitahu Rasulullah s.a.w akan
kekecewaan mereka kerana kelebihan ganjaran kepada lelaki. Beliau mempersoalkan
bahawa lelaki mempunyai peluang lebih untuk mendapat pahala melalui solat jumaat,
solat jamaah, menziarahi orang sakit, menghantar jenazah dan melibatkan diri
dalam jihad. Sedangkan kaum muslimah tidak dapat melibatkan diri secara
sepenuhnya ke dalam amalan-amalan tersebut. Rasulullah s.a.w memberikan jawapan
yang sangat mudah tetapi mempunyai makna yang sangat tinggi, iaitu jika wanita
tersebut menyintai suaminya, menggembirakannya dan metaatinya, ia juga akan
menerima ganjaran yang sama seperti yang di dapati oleh lelaki.
Seorang isteri yang beragama Islam amat mengambil berat akan kesihatan jiwa
suaminya di damping menjaga keselesaan hidupnya. Muslimah mesti menjadi
pendorong dan penyokong dalam perjuangan suaminya. Berkorban apa saja demi
perjuangan Islam. Janganlah isteri pejuang Islam menjadi sebab kepada gugurnya
suami dari medan perjuangan Islam. Janganlah memberatkan suami dengan perkara
remeh-temeh. Jika boleh, urusan yang dapat diselesaikan sendiri, selesaikanlah
secara sendiri. mereka juga hendaklah melatih diri sebagai isteri yang cekap
dalam pengurusan rumahtangga, mempunyai keyakinan diri dan mempunyai matlamat
hidup ke arah melahirkan generasi Al-Quran.
Ummu Sulaim biti Malhan ibu kepada Anas bin Malik mempunyai anak lelaki yang
sakit tenat. Sedang suaminya solat Asar di masjid, anak mereka meninggal dunia.
Ia tidak memanggil suaminya, sebaliknya menunggu sehinggalah suaminya pulang.
Ketika pulang, suaminya membawa beberapa orang teman. Ummu Sulaim menahan
dirinya dan menyediakan makanan untuk tetamunya. Kemudian apabila ditanya oleh
suaminya akan kesihatan anaknya, ia menjawab lebih sihat dari sebelumnya.
Tetapi setelah keadaan tenang, barulah diberitahu keadaan yang sebenarnya.
Demikianlah contoh seorang isteri dan ibu yang tenang dalam menghadapi keadaan
yang gawat.
Wanita Islam juga mestilah sentiasa berhati-hati dalam memilih calon suami.
Janganlah jadikan alasan suami membuatkan muslimah berundur selangkah demi
selangkah dari medan perjuangan Islam. Pilihlah calon suami yang bakal menjadi
pendorong dan sumber inspirasi dalam perjuangan Islam. Suami yang dapat memberi
kerjasama dalam rumahtangga dan perjuangan Islam. Ibarat kata pepatah, berat
sama dipikul, ringan sama dijinjing. Sebagaimana Ummu Sulaim enggan menerima
lamaran Abu Talhah kerana ia masih percaya kepada jahiliyyah. Ia menyuruh Abu
Talhah meninggalkan alam jahiliyyah dan memeluk agama Islam. Gesaan ini memberi
kesedaran kepada Abu Talhah dan akhirnya memilih Islam dan Ummu Sulaim.
Ketaatan kepada Islam menjadikan wanita Islam ibu yang baik. Ia mendidik
anak-anak dengan kecenderungan yang berpandukan kepada nilai-nilai Islam. Sikap
keibuan bagi seorang wanita adalah punca utama melahirkan akhlak yang baik
kepada anak-anak. Sebagai seorang ibuyang terlibat dalam harakah Islamiyyah,
seawajarnya mereka menjelaskan kepada anak-anak tentang penglibatan mereka
tersebut, yakni tuntutan terhadap mengintimakan (menyertai) jamaah Islam,
supaya anak-anak mereka faham kegiatan-kegiatan ibu mereka yang mungkin sedikit
sebanyak menjejaskan peranan mereka sebagai ibu di dalam dunia rumahtangga.
Muslimah seharusnya menanamkan sifat berdikari kepada anak-anak mereka sejak
kecil.
Begitu juga mereka sewajarnya menjadi seorang ibu yang dapat meniup roh
perjuangan Islam ke dalam diri anak-anak. Seharusnya ibu-ibu muslimah sentiasa
mendedahkan kepada anak-anak setiap aktiviti dalam kegiatan harakah. Anak-anak
patut dibawa bersama-sama menghadiri rehlah, taklim mingguan juga.. supaya
anak-anak lebih terdedah kepada agama dan medan dakwah itu dengan benar...