masturat

masturat

usaha atas iman

Thursday, June 27, 2013

ummu Sulaim dgn mas kahwin yang tinggi nilainya


Beliau ialah Ummu Sulaim atau nama gelarannya Rumaisha iaitu ibu kepada Saidina Anas bin Malik. Salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang terkenal. Ummu Sulaim merupakan seorang yang tegas dan kuat keyakinannya kepada Islam. Beliau lebih menyintai perjuangan Islam. Beliau lebih rela berpisah dengan suaminya iaitu ayah kepada Anas yang masih seronok dengan alam jahiliyah.

*Bercerai dengan suaminya kerana kebenaran Islam

Walaupun sudah berkali-kali Ummu Sulaim mengajak suaminya kepada kehidupan yang lebih baik dengan percaya dan tunduk dengan hukum-hukum ALLAH, tapi suaminya enggan dan akhirnya berlakulah perceraian. Setelah berlaku perceraian dengan Malik Nazhar, Ummu Sulaim berazam tidak akan berkahwin lagi sehinggalah Anas dewasa. Ini adalah kerana mahu anaknya benar-benar terdidik dan menjadi anak yang bertaqwa.

*Anaknya sebagai hadiah kepada sebuah perjuangan Islam.

Sewaktu Rasulullah berhijrah ke Madinah, Ummu Sulaim membawa Anas berjumpa dengan Baginda s.a.w. Ketika itu usia Anas baru meningkat 10 tahun. Ummu Sulaim berkata kepada Rasulullah SAW:-

“Hampir semua kaum Ansar, baik lelaki mahupun wanita telah menghadiahkan Baginda dengan suatu hadiah yang berharga. Aku tidak mempunyai sesuatu untukku hadiahkan, melainkan seorang anak lelakiku. Maka ambillah dia supaya dapat dia melayani dan melakukan tugas yang Baginda perintahkan kepadanya”

Ummu Sulaim sangat menginginkan anaknya memperoleh sebanyak mungkin keberkatan daripada Rasulullah SAW. Akhirnya Anas menjadi seorang yang alim yang tinggi ilmunya dan banyak meriwayatkan hadis.

*Perkahwinan kali kedua

Datanglah Abu Talhah yang masih kafir ingin mengahwini Ummu Sulaim. Ummu Sulaim telah memintanya membawa mas kahwin yang paling tinggi. Abu Talhah pergi mendapatkan Rasulullah SAW dan menceritakan segala-galanya.

*Mas kahwin yang teramat tinggi nilainya :- Kalimah Syahadah LA ILAHA ILLA ALLAH

Lalu Rasulullah SAW menikahkan Abu Talhah dengan Ummu Sulaim menurut syarat yang diminta. Berkahwinlah Ummu Suliam buat kali kedua dengan Abu Talhah dengan mas kahwinnya ialah Abu Talhah mengucap dua kalimah Syahadah.

Mungkin pada zaman sekarang, kalau berlaku sekarang..masyarakat akan pelik. Bagaimanakah seorang wanita sanggup berkahwin tanpa ada ems, perak, duit hantaran ataupun apa-apa pemberian sebagai mas kahwin. Hakikatnya ALLAH S.W.T tidak pernah memandang kepada harta kemewahan kita, tetapi yang paling utama disisiNYA adalah Iman dan Taqwa.

*Seorang isteri yang solehah.



Ummu Sulaim hidup bersama Abu Talhah dengan penuh kebahagiaan, beliau menjadi isteri yang taat, sentiasa menyuburkan jiwa suaminya dengan iman dan taqwa. Memberikan galakn kepada suaminya agar gigih berjuang, takut dengan ALLAH, rindu dengan syurga ALLAH dan sabar serta redha dalam menghadapi ujian ALLAH. Beliau melayani suaminya sebaik-baiknya. Tidak pernah meminta itu dan ini, beliau merasa cukup dengan apa yang ada. Masa terluang beliau gunakan untuk beribadah, bertahajjud, berwirid dan berzikir kepada ALLAH. Ummu Sulaim tidak menyibukkan diri dengan dunia, hatinya sentiasa terikat dengan ALLAH.

*Diuji ALLAH SWT dengan kematian anaknya.

ALLAH SWT menurunkan ujian untuk menguji dan meningkatkan lagi ketaqwaan kepada-NYA. Anaknya yang masih kecil meninggal dunia setelah menderita sakit beberapa lama ketika Abu Talhah tiada di rumah. Ummu Sulaim dengan tenang menghadapi kematian anaknya itu. Dimandikan, dikafankan dan ditutup anaknya itu dengan kain.

Apabila Abu Talhah pulang ke rumah, seperti biasa dia menanyakan tentang keadaan kesihatan anaknya itu, Ummu Sulaim menjawab : “Dia kini sudah tenang dan berehat sepuas-puasnya.” Pada sangkaan Abu Talhah, anaknya itu telah sembuh.

Kebetulan hari itu mereka berpuasa. Ummu Sulaim menyediakan makanan dan berbukalah mereka. Tiba waktu malam, Ummu Sulaim berdandan dan bersolek serta mengenakan wangi-wangian dan melayan suaminya sehingga suaminya lupa untuk bertanyakan khabar anaknya itu.

Sehinggalah keesokan harinya, Abu Talhah bersiap-siap untuk keluar, Ummu Sulaim berkata kepada Abu Talhah : “Wahai suamiku, ada seorang jiran kita telah diberi pinjam pinggan padanya, datang tuan pinggan untuk mengambil pinggannya kembali. Tetapi, jiran kita itu tidak mahu memulangkan semula pinggan itu kepada tuan empunya pinggan. Apa pendapat engkau tentang jiran kita ini??

“Mereka tidak berhak berbuat demikian”, jawab Abu Talhah. Lalu Ummu Sulaim berkata lagi : “ Allah telah meminjamkan kepada kita anak, kemudian DIA meminta kembali anak itu, wahai suamiku.”

Terdiam Abu Talhah, lalu dia pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW dan menceritakan apa yang berlaku antara dia dan isterinya. Bersabda Rasulullah SAW: “ semoga Allah memberkati kamu berdua dalam perbuatan kamu malam tadi.”

Doa Rasulullah itu dimakbulkan. Dan dengan kematian anaknya itu, ALLAH gantikan dengan kurniaan yang makin bertambah. Sejak malam itu, Ummu Sulaim mengandung dan melahirkan anak lelaki yang diberi nama Abdullah yang kelaknya menjadi ayah dari seorang anak lelaki pula yang diberi nama Ishaq iaitu seorang tabi’in besar dan alim dalam ilmu hukum-hukum Islam, dan anak lelakinya yang lain kesemuanya berjumlah Sembilan orang. Kesemuanya adalah orang yang berilmu dan penghafal Al-Quran.

kalau kita lihat kisah ini berkisahkan seorang wanita solehah yang hati & cintanya hanya pada Allah...yang mahar perkahwinannya hanyalah sebuah kalimah tauhid... Betapa indahnya srikandi Islam dahulu...masih ada kah lagi wanita seperti ini...Mampukah aku menjadi sepertinya...menjadi serikandi solehah sebagai penyejuk di mata,penawar di hati yang mampu untuk mengetuk pintu kelalaian insani

p.s : Kita baru sahaja diuji sedikit hal sahaja sudah mempertikaikan kepada Allah.Padahal Allah sebenarnya nak ganti benda yang lebih baik dari itu...